JMTi

PENGENALAN

jmti entrence

Sejak tahun 1990, Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi ekoran kejayaan polisi kerajaan dalam menarik pelaburan luar. Pertumbuhan yang pesat ini mewujudkan bidang-bidang industri baru, sekaligus meningkatkan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000), Malaysia telah bergerak ke arah industri berteknologi tinggi. Justeru itu struktur industri mesti disemak untuk mengukuhkan sektor pembuatan negara dan menarik lebih banyak pelaburan dari luar. Rancangan baru untuk pembangunan sumber manusia telah disediakan untuk memenuhi kehendak dan keperluan sektor pembuatan, di samping menambahkan peningkatan kemahiran pekerja-pekerja industri supaya mereka mempunyai kemahiran yang selaras dengan keperluan era teknologi tinggi.

Jabatan Tenaga Rakyat di bawah Kementerian Sumber Manusia sentiasa sensitif terhadap pertumbuhan industri dan telah mengambil langkah-langkah positif dengan menubuhkan pusat latihan berteknologi tinggi; salah satu daripadanya ialah Institut Teknikal Jepun-Malaysia. Pada tahun 1993,
cadangan untuk membina institut ini telah disuarakan oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan Jepun. Persetujuan untuk menubuhkan kerjasama teknikal telah ditandatangani oleh kedua-dua kerajaan pada tahun 1997.

Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) telah mula beroperasi pada awal tahun 1998 di kampus sementara, CIAST Shah Alam. Institut ini dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program latihan di peringkat Diploma Teknologi. Penubuhannya adalah menerusi kerjasama teknikal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun hasil persetujuan dua hala yang dimeterai pada 7 Oktober 1997. Bermula Januari 2000, JMTI telah melaksanakan sepenuhnya program latihan di kampus tetapnya yang dibangunkan di atas tanah seluas 6.5 hektar di Taman Perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang.

Sejajar dengan itu, JMTi telah menawarkan Program Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam empat bidang iaitu; Diploma Teknologi Kejuruteraan Komputer, Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekatronik, Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan.
Matlamat utama penubuhan institut ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja mahir berkualiti menerusi program latihan kemahiran pada tahap tinggi bagi memenuhi keperluan industri di Malaysia. Seterusnya menyediakan pelajar dalam menyesuaikan diri menghadapi perkembangan arus teknologi dan globalisasi masa hadapan.

SUMBANGAN KERAJAAN JEPUN DI DALAM PROJEK JMTI


Kerajaan Jepun telah memberi komitmen dengan menyediakan pakar-pakar Jangka panjang

-Ketua Penasihat

-Projek Koordinator

-Pakar Perancangan Latihan

-Pakar-pakar dalam 4 bidang Kursus Diploma Berkaitan

-Pakar untuk Khidmat Nasihat Kejuruteraan

-Menyediakan Pakar Jepun Jangkapendek yang dihantar mengikut keperluan.

-Memberi latihan kepada pengajar dalam Skim Pegawai Latihan Vokasional di Jepun setiap tahun.

-Kelengkapan Peralatan Latihan

-Flexible Manufacturing Systems( FMS )

-Industrial Robot

-Diagnosis System
-Automatic Measuring System

SUMBANGAN KERAJAAN MALAYSIA DI DALAM PROJEK JMTI


Kerajaan Malaysia telah memberi komitmen dalam penyediaan infrastruktur

-bangunan dan tanah

-kemudahan latihan

-kelengkapan peralatan latihan

Menyediakan kakitangan

- 143 tenaga pengajar dalam Skim Pegawai Latihan Vokasional

- 15 kakitangan sokongan

Menyediakan Peruntukan Perbelanjaan Operasi.

 

PERLAKSANAAN PROGRAM LATIHAN


JMTI mengendalikan program latihan sepenuh masa berasaskan sistem latihan dan vokasional serta menggunakan teknologi terkini dari negara Jepun. Program latihan kemahiran ini mengambil masa selama 3 tahun (6 semester) untuk lepasam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), manakala latihan kemahiran selama 2 tahun bagi lepasan Institusi Latihan Vokasional. JMTI berkeupayaan menyediakan latihan kepada 600 orang petalih dalam satu masa. Pada masa sekarang , JMTI sedang melatih hampir seramai 450 pelajar sepenuh masa dalam keempat-empat bidang program Diploma Teknologi Kejuruteraan.

SISTEM PEMBELAJARAN

Sistem pembelajaran di JMTI dilaksanakan di dalam bentuk teori dan praktikal. Pembelajaran pelajar tidak kepada penyampaian secara teori sahaja malahan juga mereka didedahkan dengan latihan amali bagi membolehkan mereka mengaplikasikan teori yang telah dipelajari dalam bentuk praktikal. Dengan ini, pelajar dapat menganalisa sendiri hasil yang diperolehi daripada pengajian teori mereka.

Subjek-subjek yang diajarkan kepada pelajar terdiri daripada subjek am, teori asas, teori khusus, praktikal asas dan praktikal khusus. Matapelajaran subjek am diwajibkan kepada semua pelajar untuk melengkapkan mereka kepada asas-asas kejuruteraan di samping bertujuan melahirkan pelajar yang berdisiplin dan beretika. Sebagai tambahan, pelajar juga didedahkan dengan matapelajaran Bahasa Jepun. Subjek am ini terdiri daripada:

· Matematik Kejuruteraan

· Fizik

· Bahasa Inggeris Teknikal

· Pengetahuan Agama Islam/ Pendidikan Moral
· Bahasa Jepun

Subjek-subjek am ini diajarkan pada semester-semester awal disamping subjek teori dan praktikal asas pada semester 1 hingga 3 seterusnya teori dan praktikal khusus pada semester 3 hingga 5. Subjek teori dan praktikal akan diterangkan di jabatan teknologi kejuruteraan masing-masing.Pada semester akhir, pelajar dikehendaki mengikuti latihan dalam loji. On-Job Training (OJT) selama 10 minggu di industri yang berkaitan. pelajar akan dihantar ke kilang-kilang untuk mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari selama 5 semester mengikut bidang masing-masing. Semasa menjalani OJT, wakil penyelia dari kalangan pengajar JMTI akan membuat lawatan untuk menilai prestasi pelajar semasa menjalani latihan dan untuk mendapat maklumbalas dari pihak industri berkenaan kebolehan pelajar dalam melaksanakan tugasan yang diberi. Selepas tamat menjalani OJT, pelajar diwajibkan menyiapkan projek tahun akhir dalam tempoh 10 minggu. Projek tahun akhir ini secara tidak langsung menguji kenolehan pelajar dalam merealisasikan pengetahuan dan latihan yang diberi sepanjang pengajian. pelajar dikehendaki merancang dalam penyediaan projek mereka; mendapatkan idea baru yang praktikal, menyenaraikan peralatan yang diperlukan, menyiapkan laporan untuk dibentangkan dan seterusnya membuat demonstrasi kepada pengajar-pengajar. Contoh-contoh projek tahun akhir adalah seperti membangunkan perisian mesra pengguna untuk kegunaan pusat sumber (Teknologi Kejuruteraan Komputer), bilik keselamatan dengan system penggera kecemasan (Teknologi Kejuruteraan Elektronik), Sistem Automasi Lini Pengeluaran (Teknologi Kejuruteraan Mekatronik) dan Simulasi Pengeluaran (Teknologi Kejuruteraan Pembuatan).